Thursday, April 18, 2013

[Cerpen] Panahanmu aku sambut

1.

Irfan berkalih selang beberapa minit. Malam ini terasa serabut. Hatinya tidak tenang. Hujan lebat dan kilat menyabung tidak menambah apa-apa kecuali keresahan. Sejak kebelakangan ini, semuanya tidak menjadi. Hatinya terasa kering dan gersang. 'Alangkah lucunya hati ini. Di luar sana sedang musim hujan, dalam hati ini musim kemarau. Allah.'

Guruh semakin galak berdentum. 'Ahh..menganggu tidur sahaja!' katanya. Irfan semakin geram. Dia berkalih sekali lagi. Kali ini kaki di kepala katil pula, terbalik. Dia terfikir kenapa sampai begini hatinya resah. 'Ada apa-apa yang aku buat salah ke?' fikirnya.

Usrahnya sudah tak basah seperti dulu. Tadabur dan tilawah al Qurannya juga seperti tidak membawa makna apa-apa. Semakin bosan. Solat pun sudah hilang umphnya. Puasanya hanya kerana mengikut ikhwah-ikhwah lain yang turut berpuasa. Tiada lagi semangat dalam hatinya. Galau sungguh rasa. 'Kenapa?' monolognya.

Ditambah serabut dengan tanggungjawab persatuannya dan assignmentnya lagi. 'Ahh..serabut. Classmate tak boleh harap, semua nak aku buat. Ikhwah akhawat pun kerja lembab semacam je. Kata nak dakwah, tapi ambil tanggungjawab acuh tak acuh. Nak kejar syurga, tapi kerja macam tak nak syurga.' keluhnya geram.

'Baik aku keluar ambil angin sekejap. Duduk dalam bilik lagi serabut jadi'.


Di ruang tamu, kelihatan seorang sahabatnya, Aiman sedang bertahajjud. 'Oh..sudah pukul 4 rupanya'. Dia keluar diam-diam ke halaman rumah, tidak mahu menganggu sahabatnya itu. Irfan membuka pintu dengan berhati-hati, tanpa mengeluarkan sebarang bunyi dan menutupnya kembali dengan perlahan. Dia menuju ke bangku di sebelah rumah.

Kawasan luar rumahnya berbumbung, menghadap bendang yang sangat luas. Dia dan kawan-kawannya sering duduk di situ berehat-rehat, melepaskan tekanan seharian di universiti. Namun, pagi ini dia bersendirian. Dia ingin merungkai permasalahan hatinya.

Irfan duduk. Keluhannya berat. Hujan masih lebat. Kelihatan nun di sana kilat sabung menyabung, bagaikan menari-nari di kaki langit.

'Allah..bantu aku ya Allah. Kenapa hatiku rasa begini gersang?'

Irfan berharap dia mendapat jawapannya malam itu. Dia termenung jauh. Jauh ke arah kilat yang saling menyabung di kaki langit sana. Bercahaya dan terang benderang. 'Cantik...' katanya. Irfan berbaring dan terlena.


2.

Allahu Akbar Allahu Akbar! Azan sayup-sayup kedengaran. Irfan terbangun. 'Oh..aku tertidur di sini rupanya...' bisiknya. Badannya sudah menggigil kesejukan. Tidur di luar sepanjang malam yang hujan membuatkan badannya berhempas pulas mengekalkan core temperaturenya. Rumah sudah bercahaya, tanda penghuni-penghuninya sudah bangun.

Alhamdulillah. Semenjak duduk di sini, Subuhnya terjaga, solat-solatnya andai tidak di Pusat Islam di universiti, akan di surau. Dakwah masyarakat kan? Semestinya penduduk teringin ikut sekali ke surau andai kelihatan mahasiswa-mahasiswa yang mengimarahkan masjid. Yang sedang dalam perjalanan ke surau pula sentiasa berdoa, memberi salam kepada penduduk kampung yang berselisih jalan dengan mereka.

'Kita perangi mereka dengan kasih sayang. Dakwah kita berlandaskan 'athifah. Kecintaan yang mendalam kepada manusia..' Irfan mengelamun. Teringat daurah Dakwatuna dalam Risalah Himpunan Hasan al Banna semester lepas.

'Tapi macam mana aku nak memberi kasih sayang andai aku pun rasa hati aku kosong macam ni?' keluhnya.

Irfan bingkas bangun, bersiap-siap sekali dengan ikhwah lain untuk ke surau.

'Lah...sini rupanya nta..ana ingat nta dah ke surau awal tadi..' ujar Aiman yang mencari Irfan sejak azan berkumandang lagi.

'Tak..ana di luar. Ana pergi siap-siap kejap..' balas Irfan basa-basi.


3.

Kelas hari ini semuanya bosan. Nombor-nombor yang memenuhi kertas-kertas kelihatan tak bermakna. Rasa konkrit dan kosong. Lagi menyakitkan kepala melihat skema litar yang berselirat sana-sini, dengan simbol-simbol yang menambah kekusutan di kepala.

'Nasib baik circuit atas kertas je. Kalau kena mengadap circuit betul lagi berserabut aku jadinya..' getus Irfan.

Rasa hati Irfan semakin menganggu dirinya. Pening dia memikirkan apa yang sudah terjadi dengan dirinya. Dahulu, dia amat meminati subjek-subjeknya. Setiap hari ke kelas semangat untuk mempelajari perkara baharu kekal hidup. Tapi, apa sudah jadi pada hatinya sekarang pun dia tak tahu dari mana hendak mula mencari jawapan. 'Allahu musta'an...' doanya dalam diam.

Tak sabar nak menghabiskan sesi makmalnya yang terakhir. Sudah hampir 3 jam setengah dia berada di dalam makmal itu. Geramnya pada classmates bising dan riuh itu membuatkan dia ingin saja mempateri mulut seorang demi seorang. 'Soldering pen dah ada, timah dah ada. Tinggal nak buat je..' Irfan mengomel seorang diri.

Dia mengambil sebiji kapasitor  berkapasiti 10 mikrofarad untuk dipateri pada litarnya. Untuk menenangkan diri, dia merenung kapasitor itu lama-lama. Pelik. Dia seperti merasakan jawapannya kepada persoalan hatinya ada pada kapasitor ini. Pelik. Apa kaitan hatinya dan kapasitor?

'Ahh..bakal electrical engineer tak ada masa nak melayan intuitif punya kata hati macam ni..aku bukannya artis...imaginasi yang diperlukan, bukan kata hati pelik macam ini..' Irfan menidakkan kata hatinya.

'Allahu musta'an..' bisik Irfan. Dia sudah semakin lemas dalam kegersangan hatinya. Dia kembali memateri kapasitor di litarnya. Bagaikan berada seorang diri di dalam makmal, dia fokus menyiapkan kerjanya tanpa mempedulikan apa yang berlaku sekelilingya.

Dia tak sabar untuk ke kolam renang selepas ini. Setidaknya itulah kebebasan yang dia masih miliki sejak kebelakangan ini. Kebebasan untuk bergerak sebebas-bebasnya di dalam air. Tenang. Tiada yang menganggu.


4.

Guruh berdentum sekali lagi. Malam ini hujan lagi. Ditambah dengan riuhnya guruh dan kilat di luar. Irfan kembali ke bangku di luar rumah. Dia semakin menyukai tempat itu. Ditambah pula dengan pertunjukan kilat di hadapan matanya dan hujan yang menambah syahdu. Dia memerlukan sesuatu untuk mengisi rasa hatinya yang kosong. Jam menunjukkan tepat jam 4 pagi.

Dia duduk termenung. Kemudian Irfan membuka mushafnya untuk dibaca. Dia berharap dapat menemui jawapan dalam tilawahnya itu nanti.

Dalam hujan malam itu, dia membaca penuh pengharapan. 

Tangisannya diseka. Tilawah al Quran membuatkannya menangis. Tapi tangisnya bukan kerana menyesal atas dosa. Tangisnya kerana merasa sangat takut dengan apa yang berlaku dengan dirinya. Dia menginginkan agar Allah menunjukkan jalan padanya. Dia masih tidak faham apa yang sedang berlaku.

Dia sudah meninggalkan maksiat, dia sudah melengkapi mutaba'ahnya, perkara-perkara harus sudah dikurangkan, namun kenapa rasa hatinya masih begini? Masih kosong. Iman itu seperti melarikan diri daripadanya.


'Assalamu'alaikum, Irfan. Ana tumpang duduk boleh?' Aiman menyapa tiba-tiba.

'Astaghfirullah! Terkejut ana. Ingatkan hantu mana tadi.. bagi lah salam dulu kalau ye pun..' Irfan mengurut-urut dadanya.

'Ana dah bagi dah..' Aiman menjawab sambil tersenyum.

'Hah..duduklah. Wa'alaikumussalam..' Irfan menjawab.

Aiman mengambil tempat di sebelah Irfan. Kedua-duanya diam. Menikmati angin hujan seketika. Aiman memulakan perbualan.

'Ana pernah baca dalam Dr Gray punya buku, Men from Mars and Women from Venus yang lelaki ni bila ada masalah dia masuk dalam gua dia. Diam seorang diri, sampai dia jumpa jawapan. Baru dia keluar gua dia balik. Dia jarang nak berkongsi dengan orang. Jadi, ana hormat nta sebagai seorang lelaki.. ' Aiman berkata-kata sambil tersenyum.

'Apa maksud nta?' Irfan bertanya kehairanan.

'Ana dah nampak nta macam ada masalah. Cuma, ana biar dulu nta settle sendiri. Mungkin nta perlu masa bersendirian. Cuma, ana nak beritahu kalau nta perlukan teman mendengar atau nak consult sesiapa, ana ada di sini..' ujar Aiman sambil tersenyum lagi.

'Ok. Takpe..kalau ana perlu ana cakap. Sekarang ana perlu masa berfikir. Cuma, kalau nta tak keberatan, nta teman ana duduk di sini kejap boleh?' pinta Irfan. Di sebalik keengganannya untuk berkongsi masalahnya, dia akui dia memerlukan seorang teman untuk bersamanya ketika ini.

'Emm..ok!' jawab Aiman pantas.

Tiada gesaan ke atasnya pagi ini. Qiamnya sudah cukup 8 raka'at, muraja'ah al Qurannya sudah dilakukan sekaligus di dalam solatnya, solat witir dan doa qunut juga sudah dipanjatkan untuk pejuang-pejuang Islam seantero dunia juga untuk mereka yang dizalimi. Sekarang sudah hampir waktu sahur, sunnahnya ialah berhenti qiam dan beristighfar sehingga waktu subuh. Ayat al Quran 'Wal mustaghfirina bil ashar' dan 'wa bil ashari hum yastaghfirun' dipahat di dalam kepala.

Kedua-duanya diam. Membiarkan dentuman guruh mengisi telinga masing-masing. Irfan dengan fikirannya dan Aiman dengan istighfarnya. Di dalam hati masing-masing mengagumi keindahan suasana hujan dan kilat yang saling menyabung di hadapan mereka.

Lama mereka diam.

'Tengok kilat tu..cantik kan?' Aiman sekali lagi memulakan perbualan.

'Haah..cantik.' jawab Irfan lemah. Dia masih sibuk menyelami rasa hatinya yang sedang mencari jawapan.

Mereka berdua diam kembali.

Irfan yang masih berfikir tiba-tiba mendapat idea. Dia teringat peristiwa petang tadi di mana dia merasakan kapasitor yang dipegangnya dapat memberikan jawapan kepada persoalannya.

'Bagus..mamat sebelah aku ni budak dekan elektrik, mesti boleh jawab!' Irfan bermonolog.

'Akhi..emm. Boleh nta terangkan pada ana tak pasal kapasitor? Ana tahu ana macam orang gila tiba-tiba pagi buta ni tanya pasal kapasitor. Tapi ana nak tahu..' pinta Irfan.

Aiman memandangnya kehairanan. Dia mengangguk dan diam sebentar. Kelihatan seperti mencari cara terbaik untuk menerangkan pada Irfan mengenai kapasitor. Kemudian dia memandang Irfan dan tersenyum.

'Tu....' Aiman berkata sambil menunjuk ke arah bendang.

'Erk..apa dia yang nta tunjuk tu?' tanya Irfan kehairanan.

'Kilat..' Aiman menjawab. 'Untuk pengetahuan nta, kilat adalah sebuah kapasitor semula jadi.. konsepnya sama seperti dengan kapasitor yang kecil tu..cuma, kilat lebih besar, bertenaga, dan tak terkawal. Dan ianya ciptaan Allah yang sangat indah..!' sambung Aiman sambil bertasbih.

'Elaborate more please...' Irfan meminta sambil tersengih. Dia tertarik mengenai kaitan kilat dengan kapasitor.

'Nta tahu macam mana kapasitor berfungsi kan secara basic kan? Cuba terangkan pada ana. Kita revise balik pagi ini..' Aiman bertanya kembali.

'Tahu. Kapasitor berfungsi bila dua plate yang dijarakkan, di caj di satu plate positif dan lagi satu plate negatif. Bila charge positif dan negatif makin banyak terkumpul di plate masing-masing, voltan antara kedua-duanya semakin tinggi, sehingga tiba ke satu tahap yang digelar breakdown, udara atau material yang memisahkan kedua-duanya yang pada asalnya penebat menjadi konduktor kerana breakdown yang berlaku. Bila dua-dua plate itu discharge, tenaga terhasil. Arus eletrik pun mengalir.. Nta nak ana bagitahu sekali ke formula-formulanya? Ana ingat lagi ni..hehe.' jawab Irfan sambil mneyeringai kebanggaan.

'Fenomena kilat secara asasnya pun macam itu lah akhi..kilat ini secara sejarahnya merupakan fenomena yang membolehkan manusia memanfaatkan api. Kalau nta pernah tengok cerita Spongebob Squarepant macam mana Spongebob, Patrick dan Squidward manfaatkan api yang terhasil daripada sambaran kilat..' Aiman mula menghuraikan. 'Walaupun mereka duduk di laut..' Aiman berbisik. Baru dia sedar mengarutnya Spongebob. 'Ada api dalam laut?' monolognya.

'Ana tak sangka nta minat Spongebob...' Irfan memintas. Dia menjeling Aiman. Aiman minat Spongebob? Kelakarnya.Tak logik langsung, macam 1+1=3.

'Eh..ke situ pulak. Itu dulu. Lelaki ini kadang-kadang muka je legend, dalam hati ada taman..' Aiman membela diri. Takut tercalar imej kejantanannya. Jatuh sahamnya kalau pakcik-makcik ejen Baitul Muslim tahu ini. Macam mana nak kahwin dengan akhawat qawiyyah macam ini.

'Plate dalam fenomena kilat ini ialah tanah dan awan. Dalam proses yang saintis pun tak faham sepenuhnya, caj-caj negatif terkumpul di dasar awan dan caj-caj positif tertarik ke kawasan awan yang lebih tinggi. Saintis percaya matahari memainkan peranan penting dalam proses pemisahan caj-caj ini.. ' Aiman menerangkan sambil tangannya menggayakan awan dan matahari.

'Bila caj-caj negatif terkumpul di bahagian bawah awan, caj-caj positif terkumpul di daratan. Cuba nta tengok sekarang, nampak tak dalam banyak-banyak kilat itu, ada kilat yang tak sampai ke bawah? Dia keluar in branches tapi tak cecah tanah. Fenomena itu dipanggil stepped leader atau downward leader. Ianya terjadi bila caj-caj negatif yang ingin turun tak disambut oleh caj-caj positif dari darat. Nampak tak mereka macam cuba nak turun tapi tak dapat?' Aiman bertanya.

'Haah.. macam cinta tak disambut pun ada. Bertepuk sebelah tangan..' Irfan menjawab.

'Macam cinta Allah yang tak disambut oleh hambaNya kan?' Aiman menambah.

Irfan terasa. Dia mula mencari makna di sebalik fenomena itu diam-diam. 'Astaghfirullah..' bisik Irfan.

'Kilat ini akan jadi bila stepped leader disambut oleh upward streamer dari daratan. Udara antara awan dan daratan akan break down, menyebabkan pokok-pokok atau konduktor dapat mengalirkan caj-caj positif dengan berkesan. Medan elektrostatik yang tinggi akan menyebabkan udara di ionize dan memudahkan laluan untuk pertemuan caj-caj positif dan negatif. Boom! Kilat pun menyabung..Pertemuan dua kelompok caj itu akan menghasilkan cahaya yang gemilang beserta dengan energy transfer yang sangat-sangat tinggi!..' Aiman meneruskan huraiannya. Hatinya semakin gembira dengan takbir, membesarkan keagungan Tuhannya. Allahu Akbar.

'Ianya semacam dua-dua sumber tenaga yang melimpah-limpah bila bertemu. Mereka mengalirkan tenaga yang begitu tinggi.. Semacam empangan yang dibuka setelah sekian lama ditakung..Masya Allah..' Aiman tenggelam dalam kekagumannya pada ciptaan Allah.

'Senang cerita, untuk kilat ini terjadi ada dua syarat. Yang pertama, perbezaan voltan antara dua kawasan mestilah sangat tinggi. Yang kedua, mesti adanya medium yang menghalang aliran tenaga daripada berlaku. Macam udara yang kemudiannya break down. Atau macam dinding empangan. Sebab itu bila kilat menyabung, semacam flood gate terbuka..' Aiman menamatkan penerangannya sambil tersenyum. Episod Spongebob kembali menjengah mindanya. Teringat babak di mana Spongebob berkongsi api membakar makanan. 'Tapi, api dalam laut? Hish..mengarut..'Aiman berkhayal.

'Akhi..terima kasih!' Irfan memeluk Aiman erat.

Irfan merasakan dia semakin hampir dengan jawapannya.

'Sama-sama. Akhi, buka Surah ad-Dhuha. Tadabbur maknanya, baca kisah di sebalik penurunannya..moga Allah mempermudahkan..' Aiman merasakan pelukan Irfan semakin erat, dadanya kembang kempis.

Irfan bangun dan terus masuk ke dalam rumah. Menahan sebak di dalam dadanya.


5.

Irfan cepat-cepat menghabiskan lapnya yang terakhir di kolam tersebut. Freestylenya ditambah dengan drill slow arm recovery, quick catch dan high swingers sebagai final push. Rasanya tidak sabar lagi untuk pergi ke library. Ingin mencari maklumat mengenai Surah ad-Dhuha seperti yang disarankan oleh Aiman.

Setibanya Irfan ke perpustakaan, dia terus menuju ke makmal komputer untuk mencari di Internet dan direktori buku-buku di situ. Mencari asbab nuzul surah itu, pendapat perawi-perawi dan Imam-imam hadith mengenai surah itu.

Setelah lebih tiga jam berulang-alik tingkat satu dan dua, mengupload artikel-artikel ke dalam dropboxnya untuk dibaca di telefon pintarnya, membawa buku-buku rujukan dan kitab ke mejanya dan menelaah serta menelefon asatizahnya, akhirnya dia puas.

Surah ad-Dhuha diturunkan kepada nabi Muhammad untuk menghiburkan hati Baginda, yang merasa ditinggalkan oleh Allah dan Jibril kerana sudah lama tidak menerima wahyu. Juga untuk menenangkan Baginda yang berduka cita kerana ejekan kafir Quraisy.

Bismillah

 Demi waktu dhuha,

  Dan malam apabila ia sunyi-sepi -

  (Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).

Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.

  Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda – berpuas hati.

  Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan?

  Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu – Al-Quran)?

  Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Ia memberikan kekayaan?

  Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya,

  Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik;

  Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.


'Indah sungguh ayat-ayat Allah untuk NabiNya...cukup indah. Maafkan aku ya Allah.. Maafkan aku..' Irfan menitiskan air mata selepas membaca surah ad-Dhuha. Ayat-ayat Allah itu satu persatu menerjah hatinya, membasahi daerah yang sekian lama kontang dengan iman, menerangi negeri yang sudah lama dicengkam kegelapan.

Irfan menangis tersedu-sedu. Hatinya digamit kesedihan yang begitu pahit. Betapa dia menyangka Allah telah meninggalkannya. Betapa dia merasakan bahawa Allah telah membiarkan dirinya keseorangan. Betapa dia sering menganggap Allah membiarkan doanya tak bersambut. Begitu sangkaannya selama ini.

'Ayat ini untuk aku!' Irfan terus merintih. Dia membacanya berulang-ulang kali. Ulang dan ulang. Hatinya merayu sedalam-dalamnya, memohon ampun dan menghinakan dirinya di hadapan yang Maha Mulia.

(Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).

Irfan merasakan nikmat yang tak terhingga. Hatinya mula kembang setelah sekian lama kuncup. Bagaikan nafas kehidupan kembali memenuhi setiap rongga di dalam hatinya. Rasa hangat dan dicintai. Pengharapannya yang sekian lama sunyi kini bersambut. Bersambut dengan penuh hikmah dan kefahaman. Hatinya bagai dibelai-belai dengan kasih sayang dari yang Maha Penyayang. Dia mula sedar dan bangkit. Dia mula segar dan kembali hidup, setelah sekian lama hatinya mati.

'Ya! Ianya bagaikan kilat! Setelah sekian lama rasa sunyi dan kosong, hatiku ini sangat-sangat memerlukan cinta yang bersambut. Alhamdulillah pada hari ini cintaku telah bersambut...' Irfan mula memahaminya.

'Allah memang tidak meninggalkanku. Dia ingin mengujiku sejauh manakah pengharapanku padaNya! Aku lulus ya Allah..aku lulus! Hahahahahahaha.....' Irfan semakin gembira. Air matanya tumpah kegembiraan. Dia menarik nafas, kemudian melakukan sujud syukur. Sujudnya lama. Bagaikan hamba yang pulang ke pangkuan tuannya setelah lama menghilangkan diri. Irfan tunduk. Mengagungkan kemuliaan Tuhannya.


6.

'Kunci kebahagiaan kita ini ada pada ta'abbud kita kepada Allah. Itulah seperti yang diungkapkan oleh Ibnu Qayyim dalam menghuraikan rahsia dan hikmah di sebalik solat. Ibadah itu tiada tujuan lain, hanya semata-mata ta'abbud kepada Allah. Puncak kenikmatan dalam beribadah ialah merasakan betapa hinanya kita di hadapan Allah..hati ini dipersembahkan kepada Allah, anggota-anggota kita semua ikut tunduk kepada hati. Kita serahkan segalanya untuk Allah..dengan itu, hati menjadi hidup. Sambutlah cinta Tuhanmu wahai ikhwah sekalian..bagai kilat menyambut tetamunya. Agar kehidupan mengalir di dalam hidupmu. Ia..agar ia mengalir dengan segar..' Irfan mengakhiri tazkirahnya. 

Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.

Irfan mengulang-ulang ayat daripada surah ad Dhuha itu. Dia menyedari hikmah musim kemarau yang melanda hatinya dahulu. Kini dia mendapat pengajaran yang mendalam. Dia menyedari kesilapannya dahulu.

Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu – Al-Quran)?

Pengajarannya yang dia perolehi terus daripada surah ad Dhuha tersebut. Dulu dia hanya memfokuskan peningkatan kualiti dirinya sahaja. Farqiyyah! Peningkatan vertikal. Dia lupa dia juga ada tanggungjawab terhadap aspek ufuqiyyahnya. Peningkatan horizontal.

 Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya,

  Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik;


Nabi berhijrah dari Mekah ke Madinah berdua. Kembali ke Mekah dengan sepuluh ribu orang. Islam ini nikmatnya bukan untuk seorang diri. Tapi, untuk dikongsi. Tak ada makna andai cinta ini dinikmati seorang diri tanpa menghiraukan orang lain di sekeliling. Dakwah itu dasarnya 'athifah. Inilah 'athifah yang diungkapkan oleh Imam Al Banna. Kasih sayang mendalam terhadap umat manusia. Ya..kasih sayang dan cinta.


7.

Irfan kembali ke bangku kesukaannya. Hari ini dia menghabiskan qiamnya awal. Dikejutkan juga rakan-rakannya yang lain. Dia ingin orang lain merasakan apa yang dirasakannya. Walaupun dia lebih suka qiamnya dia seorang sahaja yang tahu. 

Irfan tersenyum memandang ke arah bendang yang luas di hadapannya. Malam ini hujan lagi. Kilat dan guruh kembali menjadi temannya. 

'Kilat..aku rungkaikan rahsia kau pada hari ini. Rupanya bukan cintaku tak disambut Tuhan. Tetapi aku yang tidak menyambut pengharapan manusia lain padaku. Manusia yang masih di dalam kejahilan dan kegelapan jahiliyah yang pekat...'

'Kilat..aku rungkaikan rahsia kau pada hari ini. Aku menyedari nikmat kehidupan itu tersembunyi dalam bermanfaatnya aku pada makhluq yang lain. Tenaga kehidupan yang mengalir hasil interaksi yang lahir daripada kasih dan cintanya aku pada umat manusia...'

'Kilat..aku rungkaikan rahsia kau pada hari ini. Aku akan ingat, andai suatu hari nanti aku mengalami kesusahan yang menjatuhkan, masa yang memeritkan, saat yang mendukacitakan, dan keputusan yang mengecewakan - akan ku pahat di hatiku bahawa ia hanya merupakan permulaan untuk panahan cinta yang lebih hebat. Itu lah ujian. Dan ujian tidak lain dan tidak bukan sebagai kafarah dan tapisan dari Tuhan, untuk mengetahui siapakah dalam kalangan HambaNya yang terpilih. Dan aku berdoa, agar aku dapat bertahan sehingga panahan cinta menyambutku sekali lagi. Sehingga maut menjemputku... '

'Dan pada hari ini, panahanmu telah ku sambut..' Irfan berkata. Dia mengakhiri luahannya dengan syahadah. Syahadah yang dimaknakan sedalam-dalamnya, menghadirkan hati dan mindanya, membulatkan tekad dan azamnya.

'Ini jual beliku ya Allah..terimalah..'

Di belakang Irfan, Aiman memerhatikan dengan tenang. Dia tersenyum. Alhamdulillah, Irfan berjumpa dengan jawapannya. Dia gembira untuk Irfan.

'Tapi..dah sambut panahan kilat? Ceh..mamat ni ingat dia avatar Aang ke apa nak main sambut-sambut kilat. Lain lah macam aku..ada rupa Jeneral Iroh..' Aiman kembali perasan.

Tamat.


Nota kaki :

1. Kajian mengenai kilat juga dikenali sebagai fulminologi. Masih banyak yang belum difahami mengenai fenomena kilat ini. Sila search untuk maklumat lanjut. Istilah dark lightning ada menjelaskan mengenai interaksi antara elektron dan positron (anti matter of electron). Malah, ada fenomena yang dikenali sebagai ball lightning. Peminat Naruto, bayangkan Raikiri. Ha..itu lah dia. Kepada Allah dikembalikan segala pujian, Subhanallah.

2. Ayat beristighfar waktu sahur - Ad Dzariyat:18(وبالأسحار هم يستغفرون) dan Ali Imran:17(والمستغفرين بالأسحار).

3. Idea tercetus bila Ayaz tanya macam mana kilat terjadi.

4. Image from Spongebob episode Cavemen.

4. Sebarang ketidaktepatan maklumat atau kesalahan minta dibetulkan. Terima kasih. Selamat mengambil pengajaran. :)



4 comments:

  1. Salam author, there are times in life where your enthusiasm starts to fade increasingly. There are moments when you just feel like giving up on life. If this happens, what are your opinions on bringing back enthusiasm in life?

    ReplyDelete
  2. Salam. I don't know the exact answer. I've been there.

    1. Cling to Allah. He is al Hayy and al Qayyum. We are made to depend on Him. So, depend on Him. Don't be so independent. Rely on Allah, if not, you'll be exhausted and tired.

    2. Give yourself a break.

    3. Go back to the source that inspires your enthusiasm.

    My opinion. :)

    ReplyDelete
  3. iman bertambah dan berkurang.

    dah berminggu-minggu hati rasa kering. solat pun tak terjaga.
    bila dah azan, sibuk buat kerja lain. tangguh waktu solat..
    tinggal solat subuh, tak pyh cakap la.

    lpas baca entry ni, baru tersentap skit. dan tergerak hati utk bertanya,
    mcm mana nak ada kesedaran kepentingan solat tu?

    solat itu wajib? tau dah.
    solat amalan pertama dihisab? tau dah.

    tp still relaks abaikan solat.
    kesedaran tu ada, tau yg kita buat ni salah. tp tu la...

    mungkin hati dah busuk sgt and xde perasaan apape ttg ni. insaf skejap je.
    bila ada org disekeliling, baru nak rajin solat apa semua.

    ini semua munafiq, tau dah.
    i hate myself for this.

    please help me..

    ReplyDelete
  4. I really don't know what to say.

    Emm..

    Just imagine, what would you have with you as bekalan untuk menghadap Allah? Everytime I remember that, I just can't stand not doing nothing other than improving myself.

    Macam Ibnu Qayyim cakap, dalam solat, anggota yang dilihat patuh pada Allah. Alangkah baiknya kalau hati tunduk dan patuh sekali ikut segala ketundukan dan kehambaan dalam solat. Bawa hatimu dalam solat.

    Wallahu a'lam.

    ReplyDelete

Sila lah komen. Untuk perkongsian ilmu, teguran membina, dan pengerat ukhuwwah.