Tuesday, September 13, 2011

'Uzlah Syu'uriyah

Dalam hidup-hidup seharian kita, diri jasadi dan ruhi kita melalui konflik-konflik tertentu. Ada yang menyakitkan, ada juga yang kurang menyakitkan. Ada yang mematangkan, ada juga yang menjatuhkan. Aku juga menulis post ini, dengan harapan diri sendiri dan rakan-rakan akan mendapat sedikit sebanyak pencerahan mengenai konflik yang dihadapi. Moga kawan-kawan yang belum tergerak hati untuk membuka maza ya'ni, Indahnya Hidup Bersyariat, La Tahzan, Hayatus Sahabah mahupun buku-buku ever green lain, dapat sedikit sebanyak mengambil inisiatif untuk memahami sedikit sebanyak mutiara-mutiara yang sekalian 'ulama kita sudah kumpulkan. Aku juga sedang melalui perkara yang sama.

Kurang alat
"Bi'ah solehah boleh membunuh.." pernah seorang rakanku ungkapkan. Aku sedikit sebanyak setuju dengan apa yang dia katakan, kerana aku memahami konteks yang dia maksudkan. Bagaimana apabila ramai pelajar-pelajar sekolah agama sama ada tewas dek arus jahiliyyah atau terus menjauhkan diri dari arus tersebut. Aku melihat fenomena ini sebagai satu kegagalan, kerana kebanyakan dari kita, pelajar-pelajar sekolah agama atau aliran agama tidak dilatih dengan satu mekanisme untuk menangani situasi-situasi janggal. Situasi di mana ada dalam kalangan kawan-kawan yang dengan terang menerang menolak elemen agama. Atau bagaimana untuk 'adapt' dalam suasana masyarakat yang skeptiks terhadap agama Islam.

Kita kurang berkemahiran untuk berinteraksi dengan masyarakat dalam kes-kes di mana unsur-unsur pragmatik dan toleransi amat diperlukan. Kebanyakannya diam, layu, atau lari setelah melihat kawan-kawan yang 'keras' pendekatannya ditolak, dikutuk, dihina, dan dipulau mentah-mentah. Malah yang lebih mengecewakan, ada yang memutuskan untuk beralah dengan prinsip jahiliyyah, buang jauh-jauh prinsip nubuwah. Jauh ke dalam lubuk hati pengecut. Alhamdulillah, ada juga yang berjaya bersama-sama dengan masyarakat, bukan untuk menggadaikan prinsip, tetapi untuk memperjuangkan prinsip atas dasar kasih sayang dan dakwah untuk masyarakat. Atas dasar sebagaimana yang disebut oleh Hasan Al Banna, dalam salah satu perspektif beliau 'Dakwatuna' :
"Kami ingin agar umat ini mengetahui bahawa kalian lebih kami cintai dari diri kami sendiri. Kami bangga ketika jiwa-jiwa kami gugur sebagai penebus kehormatan kalian, kami berbuat di jalan Allah untuk kalian lebih banyak dari yang kami lakukan untuk diri sendiri. Kami adalah milik kalian wahai saudara-saudara tercinta, sesaat pun tidak pernah menjadi musuh kalian, tiada sesuatu yang membuat kami bersikap sedemikian melainkan cinta dan  kasih yang telah menguasai perasaan kami, memeras air mata kami dan mencabut rasa ingin tidur dari pelupuk mata kami." [Majmu'atur Rasail, Dakwatuna, 'Atifah]
Di mana mereka bergaul dengan masyarakat, berpaksikan 'atifah iaitu ketinggian kasih sayang. Sayangnya mereka, menyebabkan mereka tidak ingin meninggalkan masyarakat terus bergelumang dengan jahiliyyah. Walaupun mereka orang biasa-biasa, mereka mempunyai keazaman untuk betul-betul mengubah masyarakat. Mereka berada bersama-sama masyarakat walau hanya dengan senyuman yang manis dan akhlaq yang baik. Mereka berharap dapat membawa masyarakat untuk menikmati kemanisan iman yang mereka rasai.

Pengasingan Jiwa
Dalam hal ini, aku mahu bawakan kefahaman yang aku sendiri masih cuba untuk faham dan amalkan. Satu idea, yang mana sangat berguna untuk kehidupan seharian. Idea ini diperkenalkan oleh Syed Qutb dalam karya beliau, Ma'alim fi at Toriq(Petunjuk Sepanjang Jalan). Idea ini diperjelaskan lagi oleh Fathi Yakan dalam buku beliau "Apa ertinya Saya menganut Islam" dalam tajuk Ciri-ciri Khusus Harakah Islamiyah :
"Sesungguhnya menjadi satu kemestian supaya wujud satu barisan hadapan yang berazam untuk mencapai cita-cita ini, terus mara di jalan ini, mara terus dalam menghancurkan jahiliyyah yang bermaharajalela di serata pelusuk bumi, mara terus dalam mengasingkan jiwa dari satu sudutu di samping mengadakan hubungan (jasadiyah) dengan jahiliyyah di satu sudut yang lain" Syed Qutb.
Dalam kata-kata ini, diperkenalkan kembali idea uzlah syu'uriyyah. Pengasingan jiwa, pengasingan perasaan. Syu'ur membawa maksud rasa hati. 'Uzlah atau pengasingan setiap masa atau secara total. Manakala 'uzlah dari segi syara' ialah seperti yang nabi Muhammad pernah buat. Mengasingkan diri secara fizikal dan hati. Uzlah jasadi. Namun begitu, uzlah ini tidak dianjurkan untuk para da'i. Boleh sekali sekala - ingin melepaskan diri atau melepaskan kepenatan yang mengikat. Sunnah mengajarkan 'uzlah yang terbaik. 'Uzlah di malam hari, khalwah hanya dengan Allah yang Mengetahui.

Idea ini sangat berguna. Di mana aku merasakan ia dapat memanfaatkan potensi-potensi penuh da'i yang berada di tengah-tengah masyarakat. Sekaligus meletakkan prinsip yang sangat kuat dan jelas dalam bermuamalah. Semacam idea Tariq Ramadan - idea yang menganjurkan Muslim seperti aku dan kau yang berusaha untuk mengamalkan Islam dengan sepenuhnya supaya 'integrate' ke dalam masyarakat dan tidak menganggap diri sendiri sebagai minoriti. Kerana dengan menjauhkan diri, berkomentar dari jauh, kritik tanpa betul-betul turun untuk memahami masyarakat tidak begitu tepat. Masalah-masalah yang terlihat itu 'apparent', bukan punca. Aku berpendapat untuk kita betul-betul mengenali, mengetuk pintu hati masyarakat, kita harus turun dan bersama-sama mereka. Bukan bermakna kita menyetujui mereka, tapi kita bersama mereka untuk membantu mereka. Atas dasar sayangnya kita pada mereka, kita tak sanggup untuk membiarkan mereka menjadi begitu. Mereka yang aku maksudkan bukan calang-calang. Mereka yang aku maksudkan ialah mereka yang bersama-sama dengan aku dalam kelas, tidur sama, solat jemaah sama-sama, kena denda dengan faci masa kem-kem sama-sama, kena tahajjud Ustaz Osman dan Abang Sarep baca sangat panjang sama-sama, puasa sama-sama, iftar sama-sama, PUI sama-sama, buat SPM sama-sama, semua sama-sama dan banyak kenangan aku dan mereka.

Sebagaimana ungkapan yang sering disebut-sebut dalam kalangan Ikhwan, "Kita bergaul, tapi berbeza".

Dan aku merasakan sangat sesuai untuk aku bersama mereka, setelah banyak kali aku jatuh, mereka lah yang menghulurkan tangan, mengangkat aku kembali. Adakah berbudi jika aku ungkapkan aku akan tinggalkan mereka setelah aku mengenali apa itu Iman, Islam, Nabi, Rasul, Dakwah dan sebagainya? Oh Tidak. Dakwah yang aku inginkan ialah dakwah didasari oleh 'atifah dan bara'ah(kesucian). Suci daripada niat lain. Hanya untuk mereka dan aku di 'sana'.

Now I know why I failed once
Aku gagal untuk mengasingkan syu'ur aku, rasa hati dan jiwaku.
"Seorang mukmin yang bergaul dengan orang ramai serta bersabar dengan kesakitan akibat pergaulan dengan mereka itu, adalah lebih baik dari seorang mukmin yang tidak bergaul dengan orang ramai serta tidak bersabar atas kesakitan akibat pergaulan itu” Riwayat Trmzi dan Ibn Majah  

:)

3 comments:

  1. terima kasih Asif.Post ini tepat pada waktunya.

    Allah, kita tak selalu dapat apa yang kita nakkan.

    Cuma kadang-kadang, apabila bergaul tuh, jadi terbawa-bawa pula. Bukanlah kehendak hati tidak mahu kembali jadi kuat - tetapi jiwa jadi berat.

    Allah. Mungkin aku belum cukup komited. KAdang-kadang rasa macam bola pulak, bila syaitan nak, dia main lambung2 sana ke sini, kalau tak nak, dia biarkan bergolek ikut rentak sendiri.

    Allah. Pohon doanya ye Asif

    ReplyDelete
  2. ana uwafiq ma'ak.

    penjelasan yang padat, mantap.

    bukan kita inginkan begitu, maka berbuatlah sesuatu. barakallahufik.

    ReplyDelete
  3. Syazwan - AMin insya Allah.. kau orang kuat. Itulah, nak istiqamah tu susah. Moga Allah bantu kita. Kau takde hal la.. bakal speaker kan? ;p

    Aminah - Amin. syukran.

    ReplyDelete

Sila lah komen. Untuk perkongsian ilmu, teguran membina, dan pengerat ukhuwwah.