Showing posts with label Cerpen. Show all posts
Showing posts with label Cerpen. Show all posts

Thursday, April 18, 2013

[Cerpen] Panahanmu aku sambut

1.

Irfan berkalih selang beberapa minit. Malam ini terasa serabut. Hatinya tidak tenang. Hujan lebat dan kilat menyabung tidak menambah apa-apa kecuali keresahan. Sejak kebelakangan ini, semuanya tidak menjadi. Hatinya terasa kering dan gersang. 'Alangkah lucunya hati ini. Di luar sana sedang musim hujan, dalam hati ini musim kemarau. Allah.'

Guruh semakin galak berdentum. 'Ahh..menganggu tidur sahaja!' katanya. Irfan semakin geram. Dia berkalih sekali lagi. Kali ini kaki di kepala katil pula, terbalik. Dia terfikir kenapa sampai begini hatinya resah. 'Ada apa-apa yang aku buat salah ke?' fikirnya.

Usrahnya sudah tak basah seperti dulu. Tadabur dan tilawah al Qurannya juga seperti tidak membawa makna apa-apa. Semakin bosan. Solat pun sudah hilang umphnya. Puasanya hanya kerana mengikut ikhwah-ikhwah lain yang turut berpuasa. Tiada lagi semangat dalam hatinya. Galau sungguh rasa. 'Kenapa?' monolognya.

Ditambah serabut dengan tanggungjawab persatuannya dan assignmentnya lagi. 'Ahh..serabut. Classmate tak boleh harap, semua nak aku buat. Ikhwah akhawat pun kerja lembab semacam je. Kata nak dakwah, tapi ambil tanggungjawab acuh tak acuh. Nak kejar syurga, tapi kerja macam tak nak syurga.' keluhnya geram.

'Baik aku keluar ambil angin sekejap. Duduk dalam bilik lagi serabut jadi'.


Di ruang tamu, kelihatan seorang sahabatnya, Aiman sedang bertahajjud. 'Oh..sudah pukul 4 rupanya'. Dia keluar diam-diam ke halaman rumah, tidak mahu menganggu sahabatnya itu. Irfan membuka pintu dengan berhati-hati, tanpa mengeluarkan sebarang bunyi dan menutupnya kembali dengan perlahan. Dia menuju ke bangku di sebelah rumah.

Kawasan luar rumahnya berbumbung, menghadap bendang yang sangat luas. Dia dan kawan-kawannya sering duduk di situ berehat-rehat, melepaskan tekanan seharian di universiti. Namun, pagi ini dia bersendirian. Dia ingin merungkai permasalahan hatinya.

Irfan duduk. Keluhannya berat. Hujan masih lebat. Kelihatan nun di sana kilat sabung menyabung, bagaikan menari-nari di kaki langit.

'Allah..bantu aku ya Allah. Kenapa hatiku rasa begini gersang?'

Irfan berharap dia mendapat jawapannya malam itu. Dia termenung jauh. Jauh ke arah kilat yang saling menyabung di kaki langit sana. Bercahaya dan terang benderang. 'Cantik...' katanya. Irfan berbaring dan terlena.


2.

Allahu Akbar Allahu Akbar! Azan sayup-sayup kedengaran. Irfan terbangun. 'Oh..aku tertidur di sini rupanya...' bisiknya. Badannya sudah menggigil kesejukan. Tidur di luar sepanjang malam yang hujan membuatkan badannya berhempas pulas mengekalkan core temperaturenya. Rumah sudah bercahaya, tanda penghuni-penghuninya sudah bangun.

Alhamdulillah. Semenjak duduk di sini, Subuhnya terjaga, solat-solatnya andai tidak di Pusat Islam di universiti, akan di surau. Dakwah masyarakat kan? Semestinya penduduk teringin ikut sekali ke surau andai kelihatan mahasiswa-mahasiswa yang mengimarahkan masjid. Yang sedang dalam perjalanan ke surau pula sentiasa berdoa, memberi salam kepada penduduk kampung yang berselisih jalan dengan mereka.

'Kita perangi mereka dengan kasih sayang. Dakwah kita berlandaskan 'athifah. Kecintaan yang mendalam kepada manusia..' Irfan mengelamun. Teringat daurah Dakwatuna dalam Risalah Himpunan Hasan al Banna semester lepas.

'Tapi macam mana aku nak memberi kasih sayang andai aku pun rasa hati aku kosong macam ni?' keluhnya.

Irfan bingkas bangun, bersiap-siap sekali dengan ikhwah lain untuk ke surau.

'Lah...sini rupanya nta..ana ingat nta dah ke surau awal tadi..' ujar Aiman yang mencari Irfan sejak azan berkumandang lagi.

'Tak..ana di luar. Ana pergi siap-siap kejap..' balas Irfan basa-basi.


3.

Kelas hari ini semuanya bosan. Nombor-nombor yang memenuhi kertas-kertas kelihatan tak bermakna. Rasa konkrit dan kosong. Lagi menyakitkan kepala melihat skema litar yang berselirat sana-sini, dengan simbol-simbol yang menambah kekusutan di kepala.

'Nasib baik circuit atas kertas je. Kalau kena mengadap circuit betul lagi berserabut aku jadinya..' getus Irfan.

Rasa hati Irfan semakin menganggu dirinya. Pening dia memikirkan apa yang sudah terjadi dengan dirinya. Dahulu, dia amat meminati subjek-subjeknya. Setiap hari ke kelas semangat untuk mempelajari perkara baharu kekal hidup. Tapi, apa sudah jadi pada hatinya sekarang pun dia tak tahu dari mana hendak mula mencari jawapan. 'Allahu musta'an...' doanya dalam diam.

Tak sabar nak menghabiskan sesi makmalnya yang terakhir. Sudah hampir 3 jam setengah dia berada di dalam makmal itu. Geramnya pada classmates bising dan riuh itu membuatkan dia ingin saja mempateri mulut seorang demi seorang. 'Soldering pen dah ada, timah dah ada. Tinggal nak buat je..' Irfan mengomel seorang diri.

Dia mengambil sebiji kapasitor  berkapasiti 10 mikrofarad untuk dipateri pada litarnya. Untuk menenangkan diri, dia merenung kapasitor itu lama-lama. Pelik. Dia seperti merasakan jawapannya kepada persoalan hatinya ada pada kapasitor ini. Pelik. Apa kaitan hatinya dan kapasitor?

'Ahh..bakal electrical engineer tak ada masa nak melayan intuitif punya kata hati macam ni..aku bukannya artis...imaginasi yang diperlukan, bukan kata hati pelik macam ini..' Irfan menidakkan kata hatinya.

'Allahu musta'an..' bisik Irfan. Dia sudah semakin lemas dalam kegersangan hatinya. Dia kembali memateri kapasitor di litarnya. Bagaikan berada seorang diri di dalam makmal, dia fokus menyiapkan kerjanya tanpa mempedulikan apa yang berlaku sekelilingya.

Dia tak sabar untuk ke kolam renang selepas ini. Setidaknya itulah kebebasan yang dia masih miliki sejak kebelakangan ini. Kebebasan untuk bergerak sebebas-bebasnya di dalam air. Tenang. Tiada yang menganggu.


4.

Guruh berdentum sekali lagi. Malam ini hujan lagi. Ditambah dengan riuhnya guruh dan kilat di luar. Irfan kembali ke bangku di luar rumah. Dia semakin menyukai tempat itu. Ditambah pula dengan pertunjukan kilat di hadapan matanya dan hujan yang menambah syahdu. Dia memerlukan sesuatu untuk mengisi rasa hatinya yang kosong. Jam menunjukkan tepat jam 4 pagi.

Dia duduk termenung. Kemudian Irfan membuka mushafnya untuk dibaca. Dia berharap dapat menemui jawapan dalam tilawahnya itu nanti.

Dalam hujan malam itu, dia membaca penuh pengharapan. 

Tangisannya diseka. Tilawah al Quran membuatkannya menangis. Tapi tangisnya bukan kerana menyesal atas dosa. Tangisnya kerana merasa sangat takut dengan apa yang berlaku dengan dirinya. Dia menginginkan agar Allah menunjukkan jalan padanya. Dia masih tidak faham apa yang sedang berlaku.

Dia sudah meninggalkan maksiat, dia sudah melengkapi mutaba'ahnya, perkara-perkara harus sudah dikurangkan, namun kenapa rasa hatinya masih begini? Masih kosong. Iman itu seperti melarikan diri daripadanya.


'Assalamu'alaikum, Irfan. Ana tumpang duduk boleh?' Aiman menyapa tiba-tiba.

'Astaghfirullah! Terkejut ana. Ingatkan hantu mana tadi.. bagi lah salam dulu kalau ye pun..' Irfan mengurut-urut dadanya.

'Ana dah bagi dah..' Aiman menjawab sambil tersenyum.

'Hah..duduklah. Wa'alaikumussalam..' Irfan menjawab.

Aiman mengambil tempat di sebelah Irfan. Kedua-duanya diam. Menikmati angin hujan seketika. Aiman memulakan perbualan.

'Ana pernah baca dalam Dr Gray punya buku, Men from Mars and Women from Venus yang lelaki ni bila ada masalah dia masuk dalam gua dia. Diam seorang diri, sampai dia jumpa jawapan. Baru dia keluar gua dia balik. Dia jarang nak berkongsi dengan orang. Jadi, ana hormat nta sebagai seorang lelaki.. ' Aiman berkata-kata sambil tersenyum.

'Apa maksud nta?' Irfan bertanya kehairanan.

'Ana dah nampak nta macam ada masalah. Cuma, ana biar dulu nta settle sendiri. Mungkin nta perlu masa bersendirian. Cuma, ana nak beritahu kalau nta perlukan teman mendengar atau nak consult sesiapa, ana ada di sini..' ujar Aiman sambil tersenyum lagi.

'Ok. Takpe..kalau ana perlu ana cakap. Sekarang ana perlu masa berfikir. Cuma, kalau nta tak keberatan, nta teman ana duduk di sini kejap boleh?' pinta Irfan. Di sebalik keengganannya untuk berkongsi masalahnya, dia akui dia memerlukan seorang teman untuk bersamanya ketika ini.

'Emm..ok!' jawab Aiman pantas.

Tiada gesaan ke atasnya pagi ini. Qiamnya sudah cukup 8 raka'at, muraja'ah al Qurannya sudah dilakukan sekaligus di dalam solatnya, solat witir dan doa qunut juga sudah dipanjatkan untuk pejuang-pejuang Islam seantero dunia juga untuk mereka yang dizalimi. Sekarang sudah hampir waktu sahur, sunnahnya ialah berhenti qiam dan beristighfar sehingga waktu subuh. Ayat al Quran 'Wal mustaghfirina bil ashar' dan 'wa bil ashari hum yastaghfirun' dipahat di dalam kepala.

Kedua-duanya diam. Membiarkan dentuman guruh mengisi telinga masing-masing. Irfan dengan fikirannya dan Aiman dengan istighfarnya. Di dalam hati masing-masing mengagumi keindahan suasana hujan dan kilat yang saling menyabung di hadapan mereka.

Lama mereka diam.

'Tengok kilat tu..cantik kan?' Aiman sekali lagi memulakan perbualan.

'Haah..cantik.' jawab Irfan lemah. Dia masih sibuk menyelami rasa hatinya yang sedang mencari jawapan.

Mereka berdua diam kembali.

Irfan yang masih berfikir tiba-tiba mendapat idea. Dia teringat peristiwa petang tadi di mana dia merasakan kapasitor yang dipegangnya dapat memberikan jawapan kepada persoalannya.

'Bagus..mamat sebelah aku ni budak dekan elektrik, mesti boleh jawab!' Irfan bermonolog.

'Akhi..emm. Boleh nta terangkan pada ana tak pasal kapasitor? Ana tahu ana macam orang gila tiba-tiba pagi buta ni tanya pasal kapasitor. Tapi ana nak tahu..' pinta Irfan.

Aiman memandangnya kehairanan. Dia mengangguk dan diam sebentar. Kelihatan seperti mencari cara terbaik untuk menerangkan pada Irfan mengenai kapasitor. Kemudian dia memandang Irfan dan tersenyum.

'Tu....' Aiman berkata sambil menunjuk ke arah bendang.

'Erk..apa dia yang nta tunjuk tu?' tanya Irfan kehairanan.

'Kilat..' Aiman menjawab. 'Untuk pengetahuan nta, kilat adalah sebuah kapasitor semula jadi.. konsepnya sama seperti dengan kapasitor yang kecil tu..cuma, kilat lebih besar, bertenaga, dan tak terkawal. Dan ianya ciptaan Allah yang sangat indah..!' sambung Aiman sambil bertasbih.

'Elaborate more please...' Irfan meminta sambil tersengih. Dia tertarik mengenai kaitan kilat dengan kapasitor.

'Nta tahu macam mana kapasitor berfungsi kan secara basic kan? Cuba terangkan pada ana. Kita revise balik pagi ini..' Aiman bertanya kembali.

'Tahu. Kapasitor berfungsi bila dua plate yang dijarakkan, di caj di satu plate positif dan lagi satu plate negatif. Bila charge positif dan negatif makin banyak terkumpul di plate masing-masing, voltan antara kedua-duanya semakin tinggi, sehingga tiba ke satu tahap yang digelar breakdown, udara atau material yang memisahkan kedua-duanya yang pada asalnya penebat menjadi konduktor kerana breakdown yang berlaku. Bila dua-dua plate itu discharge, tenaga terhasil. Arus eletrik pun mengalir.. Nta nak ana bagitahu sekali ke formula-formulanya? Ana ingat lagi ni..hehe.' jawab Irfan sambil mneyeringai kebanggaan.

'Fenomena kilat secara asasnya pun macam itu lah akhi..kilat ini secara sejarahnya merupakan fenomena yang membolehkan manusia memanfaatkan api. Kalau nta pernah tengok cerita Spongebob Squarepant macam mana Spongebob, Patrick dan Squidward manfaatkan api yang terhasil daripada sambaran kilat..' Aiman mula menghuraikan. 'Walaupun mereka duduk di laut..' Aiman berbisik. Baru dia sedar mengarutnya Spongebob. 'Ada api dalam laut?' monolognya.

'Ana tak sangka nta minat Spongebob...' Irfan memintas. Dia menjeling Aiman. Aiman minat Spongebob? Kelakarnya.Tak logik langsung, macam 1+1=3.

'Eh..ke situ pulak. Itu dulu. Lelaki ini kadang-kadang muka je legend, dalam hati ada taman..' Aiman membela diri. Takut tercalar imej kejantanannya. Jatuh sahamnya kalau pakcik-makcik ejen Baitul Muslim tahu ini. Macam mana nak kahwin dengan akhawat qawiyyah macam ini.

'Plate dalam fenomena kilat ini ialah tanah dan awan. Dalam proses yang saintis pun tak faham sepenuhnya, caj-caj negatif terkumpul di dasar awan dan caj-caj positif tertarik ke kawasan awan yang lebih tinggi. Saintis percaya matahari memainkan peranan penting dalam proses pemisahan caj-caj ini.. ' Aiman menerangkan sambil tangannya menggayakan awan dan matahari.

'Bila caj-caj negatif terkumpul di bahagian bawah awan, caj-caj positif terkumpul di daratan. Cuba nta tengok sekarang, nampak tak dalam banyak-banyak kilat itu, ada kilat yang tak sampai ke bawah? Dia keluar in branches tapi tak cecah tanah. Fenomena itu dipanggil stepped leader atau downward leader. Ianya terjadi bila caj-caj negatif yang ingin turun tak disambut oleh caj-caj positif dari darat. Nampak tak mereka macam cuba nak turun tapi tak dapat?' Aiman bertanya.

'Haah.. macam cinta tak disambut pun ada. Bertepuk sebelah tangan..' Irfan menjawab.

'Macam cinta Allah yang tak disambut oleh hambaNya kan?' Aiman menambah.

Irfan terasa. Dia mula mencari makna di sebalik fenomena itu diam-diam. 'Astaghfirullah..' bisik Irfan.

'Kilat ini akan jadi bila stepped leader disambut oleh upward streamer dari daratan. Udara antara awan dan daratan akan break down, menyebabkan pokok-pokok atau konduktor dapat mengalirkan caj-caj positif dengan berkesan. Medan elektrostatik yang tinggi akan menyebabkan udara di ionize dan memudahkan laluan untuk pertemuan caj-caj positif dan negatif. Boom! Kilat pun menyabung..Pertemuan dua kelompok caj itu akan menghasilkan cahaya yang gemilang beserta dengan energy transfer yang sangat-sangat tinggi!..' Aiman meneruskan huraiannya. Hatinya semakin gembira dengan takbir, membesarkan keagungan Tuhannya. Allahu Akbar.

'Ianya semacam dua-dua sumber tenaga yang melimpah-limpah bila bertemu. Mereka mengalirkan tenaga yang begitu tinggi.. Semacam empangan yang dibuka setelah sekian lama ditakung..Masya Allah..' Aiman tenggelam dalam kekagumannya pada ciptaan Allah.

'Senang cerita, untuk kilat ini terjadi ada dua syarat. Yang pertama, perbezaan voltan antara dua kawasan mestilah sangat tinggi. Yang kedua, mesti adanya medium yang menghalang aliran tenaga daripada berlaku. Macam udara yang kemudiannya break down. Atau macam dinding empangan. Sebab itu bila kilat menyabung, semacam flood gate terbuka..' Aiman menamatkan penerangannya sambil tersenyum. Episod Spongebob kembali menjengah mindanya. Teringat babak di mana Spongebob berkongsi api membakar makanan. 'Tapi, api dalam laut? Hish..mengarut..'Aiman berkhayal.

'Akhi..terima kasih!' Irfan memeluk Aiman erat.

Irfan merasakan dia semakin hampir dengan jawapannya.

'Sama-sama. Akhi, buka Surah ad-Dhuha. Tadabbur maknanya, baca kisah di sebalik penurunannya..moga Allah mempermudahkan..' Aiman merasakan pelukan Irfan semakin erat, dadanya kembang kempis.

Irfan bangun dan terus masuk ke dalam rumah. Menahan sebak di dalam dadanya.


5.

Irfan cepat-cepat menghabiskan lapnya yang terakhir di kolam tersebut. Freestylenya ditambah dengan drill slow arm recovery, quick catch dan high swingers sebagai final push. Rasanya tidak sabar lagi untuk pergi ke library. Ingin mencari maklumat mengenai Surah ad-Dhuha seperti yang disarankan oleh Aiman.

Setibanya Irfan ke perpustakaan, dia terus menuju ke makmal komputer untuk mencari di Internet dan direktori buku-buku di situ. Mencari asbab nuzul surah itu, pendapat perawi-perawi dan Imam-imam hadith mengenai surah itu.

Setelah lebih tiga jam berulang-alik tingkat satu dan dua, mengupload artikel-artikel ke dalam dropboxnya untuk dibaca di telefon pintarnya, membawa buku-buku rujukan dan kitab ke mejanya dan menelaah serta menelefon asatizahnya, akhirnya dia puas.

Surah ad-Dhuha diturunkan kepada nabi Muhammad untuk menghiburkan hati Baginda, yang merasa ditinggalkan oleh Allah dan Jibril kerana sudah lama tidak menerima wahyu. Juga untuk menenangkan Baginda yang berduka cita kerana ejekan kafir Quraisy.

Bismillah

 Demi waktu dhuha,

  Dan malam apabila ia sunyi-sepi -

  (Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).

Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.

  Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda – berpuas hati.

  Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan?

  Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu – Al-Quran)?

  Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Ia memberikan kekayaan?

  Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya,

  Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik;

  Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.


'Indah sungguh ayat-ayat Allah untuk NabiNya...cukup indah. Maafkan aku ya Allah.. Maafkan aku..' Irfan menitiskan air mata selepas membaca surah ad-Dhuha. Ayat-ayat Allah itu satu persatu menerjah hatinya, membasahi daerah yang sekian lama kontang dengan iman, menerangi negeri yang sudah lama dicengkam kegelapan.

Irfan menangis tersedu-sedu. Hatinya digamit kesedihan yang begitu pahit. Betapa dia menyangka Allah telah meninggalkannya. Betapa dia merasakan bahawa Allah telah membiarkan dirinya keseorangan. Betapa dia sering menganggap Allah membiarkan doanya tak bersambut. Begitu sangkaannya selama ini.

'Ayat ini untuk aku!' Irfan terus merintih. Dia membacanya berulang-ulang kali. Ulang dan ulang. Hatinya merayu sedalam-dalamnya, memohon ampun dan menghinakan dirinya di hadapan yang Maha Mulia.

(Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).

Irfan merasakan nikmat yang tak terhingga. Hatinya mula kembang setelah sekian lama kuncup. Bagaikan nafas kehidupan kembali memenuhi setiap rongga di dalam hatinya. Rasa hangat dan dicintai. Pengharapannya yang sekian lama sunyi kini bersambut. Bersambut dengan penuh hikmah dan kefahaman. Hatinya bagai dibelai-belai dengan kasih sayang dari yang Maha Penyayang. Dia mula sedar dan bangkit. Dia mula segar dan kembali hidup, setelah sekian lama hatinya mati.

'Ya! Ianya bagaikan kilat! Setelah sekian lama rasa sunyi dan kosong, hatiku ini sangat-sangat memerlukan cinta yang bersambut. Alhamdulillah pada hari ini cintaku telah bersambut...' Irfan mula memahaminya.

'Allah memang tidak meninggalkanku. Dia ingin mengujiku sejauh manakah pengharapanku padaNya! Aku lulus ya Allah..aku lulus! Hahahahahahaha.....' Irfan semakin gembira. Air matanya tumpah kegembiraan. Dia menarik nafas, kemudian melakukan sujud syukur. Sujudnya lama. Bagaikan hamba yang pulang ke pangkuan tuannya setelah lama menghilangkan diri. Irfan tunduk. Mengagungkan kemuliaan Tuhannya.


6.

'Kunci kebahagiaan kita ini ada pada ta'abbud kita kepada Allah. Itulah seperti yang diungkapkan oleh Ibnu Qayyim dalam menghuraikan rahsia dan hikmah di sebalik solat. Ibadah itu tiada tujuan lain, hanya semata-mata ta'abbud kepada Allah. Puncak kenikmatan dalam beribadah ialah merasakan betapa hinanya kita di hadapan Allah..hati ini dipersembahkan kepada Allah, anggota-anggota kita semua ikut tunduk kepada hati. Kita serahkan segalanya untuk Allah..dengan itu, hati menjadi hidup. Sambutlah cinta Tuhanmu wahai ikhwah sekalian..bagai kilat menyambut tetamunya. Agar kehidupan mengalir di dalam hidupmu. Ia..agar ia mengalir dengan segar..' Irfan mengakhiri tazkirahnya. 

Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.

Irfan mengulang-ulang ayat daripada surah ad Dhuha itu. Dia menyedari hikmah musim kemarau yang melanda hatinya dahulu. Kini dia mendapat pengajaran yang mendalam. Dia menyedari kesilapannya dahulu.

Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu – Al-Quran)?

Pengajarannya yang dia perolehi terus daripada surah ad Dhuha tersebut. Dulu dia hanya memfokuskan peningkatan kualiti dirinya sahaja. Farqiyyah! Peningkatan vertikal. Dia lupa dia juga ada tanggungjawab terhadap aspek ufuqiyyahnya. Peningkatan horizontal.

 Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya,

  Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik;


Nabi berhijrah dari Mekah ke Madinah berdua. Kembali ke Mekah dengan sepuluh ribu orang. Islam ini nikmatnya bukan untuk seorang diri. Tapi, untuk dikongsi. Tak ada makna andai cinta ini dinikmati seorang diri tanpa menghiraukan orang lain di sekeliling. Dakwah itu dasarnya 'athifah. Inilah 'athifah yang diungkapkan oleh Imam Al Banna. Kasih sayang mendalam terhadap umat manusia. Ya..kasih sayang dan cinta.


7.

Irfan kembali ke bangku kesukaannya. Hari ini dia menghabiskan qiamnya awal. Dikejutkan juga rakan-rakannya yang lain. Dia ingin orang lain merasakan apa yang dirasakannya. Walaupun dia lebih suka qiamnya dia seorang sahaja yang tahu. 

Irfan tersenyum memandang ke arah bendang yang luas di hadapannya. Malam ini hujan lagi. Kilat dan guruh kembali menjadi temannya. 

'Kilat..aku rungkaikan rahsia kau pada hari ini. Rupanya bukan cintaku tak disambut Tuhan. Tetapi aku yang tidak menyambut pengharapan manusia lain padaku. Manusia yang masih di dalam kejahilan dan kegelapan jahiliyah yang pekat...'

'Kilat..aku rungkaikan rahsia kau pada hari ini. Aku menyedari nikmat kehidupan itu tersembunyi dalam bermanfaatnya aku pada makhluq yang lain. Tenaga kehidupan yang mengalir hasil interaksi yang lahir daripada kasih dan cintanya aku pada umat manusia...'

'Kilat..aku rungkaikan rahsia kau pada hari ini. Aku akan ingat, andai suatu hari nanti aku mengalami kesusahan yang menjatuhkan, masa yang memeritkan, saat yang mendukacitakan, dan keputusan yang mengecewakan - akan ku pahat di hatiku bahawa ia hanya merupakan permulaan untuk panahan cinta yang lebih hebat. Itu lah ujian. Dan ujian tidak lain dan tidak bukan sebagai kafarah dan tapisan dari Tuhan, untuk mengetahui siapakah dalam kalangan HambaNya yang terpilih. Dan aku berdoa, agar aku dapat bertahan sehingga panahan cinta menyambutku sekali lagi. Sehingga maut menjemputku... '

'Dan pada hari ini, panahanmu telah ku sambut..' Irfan berkata. Dia mengakhiri luahannya dengan syahadah. Syahadah yang dimaknakan sedalam-dalamnya, menghadirkan hati dan mindanya, membulatkan tekad dan azamnya.

'Ini jual beliku ya Allah..terimalah..'

Di belakang Irfan, Aiman memerhatikan dengan tenang. Dia tersenyum. Alhamdulillah, Irfan berjumpa dengan jawapannya. Dia gembira untuk Irfan.

'Tapi..dah sambut panahan kilat? Ceh..mamat ni ingat dia avatar Aang ke apa nak main sambut-sambut kilat. Lain lah macam aku..ada rupa Jeneral Iroh..' Aiman kembali perasan.

Tamat.


Nota kaki :

1. Kajian mengenai kilat juga dikenali sebagai fulminologi. Masih banyak yang belum difahami mengenai fenomena kilat ini. Sila search untuk maklumat lanjut. Istilah dark lightning ada menjelaskan mengenai interaksi antara elektron dan positron (anti matter of electron). Malah, ada fenomena yang dikenali sebagai ball lightning. Peminat Naruto, bayangkan Raikiri. Ha..itu lah dia. Kepada Allah dikembalikan segala pujian, Subhanallah.

2. Ayat beristighfar waktu sahur - Ad Dzariyat:18(وبالأسحار هم يستغفرون) dan Ali Imran:17(والمستغفرين بالأسحار).

3. Idea tercetus bila Ayaz tanya macam mana kilat terjadi.

4. Image from Spongebob episode Cavemen.

4. Sebarang ketidaktepatan maklumat atau kesalahan minta dibetulkan. Terima kasih. Selamat mengambil pengajaran. :)



Sunday, August 19, 2012

[Cerpen] 'Ayah, berehatlah'

Deruan hujan semakin lebat. Khalid dan Zaid masih sibuk mengulang hafalan masing-masing. Mata mereka sibuk menjeling jam di dinding, menunggu bilakah ayah mereka akan pulang. Janji ayah ingin membawa mereka beriktikaf di Masjid Negara, namun jam sudah menunjukkan pukul 11.30 malam. Khalid, abang sulung yang berumur 12 tahun terus mundar-mandir di halaman ruang tamu sambil mulut masih membaca ayat hafalan. Khalid mesti memastikan dia dan adiknya habis mengulang al Quran sebanyak dua juzu' sebelum ayahnya pulang. Walaupun dia masih muda, namun naluri tanggungjawabnya amat besar. Dia telah dilatih sedari kecil lagi oleh ayah mereka. Umi mereka sudah tiada semenjak mereka kecil lagi. Ayah lah yang menjadi ibu dan bapa mereka. Mereka berdua beradik memang sudah masak dengan latihan, disiplin, kefahaman dan tanggungjawab. Ayah sering menceritakan kepada mereka tentang besarnya tanggungjawab manusia yang faham terhadap umat.

Si adik, Zaid sudah tersengguk-sengguk mengantuk. Zaid terus membaca al Quran walaupun matanya amat berat. Hatinya kuat, ingin bersama-sama dengan si ayah beriktikaf di masjid nanti. Dia masih ingat pesan ayah, "Kalau baca Quran walaupun mengantuk, Al Quran pada hari akhirat nanti akan datang jadi pemberi syafa'at. Al Quran akan cakap pada Allah yang Zaid ni walaupun mengantuk tetap baca Quran. Jadi kalau mengantuk sikit, Zaid kena kuatkan diri".

Hujan masih lagi tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda. Khalid dan Zaid masih setia menunggu si ayah. Malam-malam terakhir Ramadan sudah lama menantikan bersatunya si ayah dan anak-anaknya. Tombol pintu dipulas, bunyi kunci bertemu mangga. Terus Khalid dan Zaid menuju ke pintu. Hati mereka berbunga.

"Assalamu'alaikum" Si ayah memberi salam. Kondo yang mereka diami itu masih terasa lapang dan aman, tidak surut walaupun sedikit ketenangan itu. Khalid dan Zaid terus memeluk dan mencium tangan ayah mereka. Ayah membalas pelukan dan mencium dahi anak-anaknya. Sudah seminggu ayah tiada di rumah, makan minum mereka diuruskan oleh Cik Yah jiran mereka.

Ayah terus melabuhkan punggungnya ke atas sofa. Dia menutup Quran-Quran anak-anaknya yang terbuka. Dia memanggil anak-anaknya untuk duduk di sebelahnya. Dia ingin mendengar dan mengetahui apa yang mereka lakukan sepanjang ketiadaannya. Sementara Khalid bercerita kepada ayahnya bagaikan seorang komando melaporkan pada jeneralnya, memaklumkan segala taklifat yang ayahnya amanahkan pada mereka berdua, Zaid yang lebih muda pula lebih gemar bercerita mengenai bagaimana dia dan rakan-rakannya menyambut Ramadan. Bagaimana mereka berlumba-lumba untuk solat lebih lama, baca Quran lebih banyak dan siapa yang lebih banyak berzikir. Ayah tersenyum. Hatinya tenang. Dia memandang muka anak-anaknya. Mencium dahi mereka sekali lagi. Membawa kepala mereka ke dadanya.

"Emm..ayah. Khalid nak tanya sesuatu boleh tak?" Anak sulung memulakan bicara. "Apa dia Khalid?" Ayah menjawab. Kepala Khalid masih lagi disandarkan pada dada ayahnya. Dia tidak ingin mengangkat kepalanya lagi. Rindunya pada ayah masih belum reda. "Kenapa ayah selalu sibuk dengan urusan kerja dan dakwah sampai Khalid tengok kadang-kadang ayah macam tak pernah rehat? Ayah tak penat ke?"

Ayah tersenyum. Memang penat. Badannya sendiri pun masih belum hilang rasa penatnya. Ayah terus berfikir macam mana nak menjawab persoalan anaknya yang sulung ini. Hendak bercerita tentang sirah nabi, sudah selalu. Ayah terus berfikir cara terbaik untuk menjawab persoalan anaknya itu. Agar anak-anaknya faham, mengapa hidup ini perlu diserahkan sedemikian rupa pada Allah.

"Khalid, Zaid, nak dengar satu cerita tak?" Ayahnya membangkitkan minat.
"Nak!" Jawab mereka berdua. Zaid yang sedari tadi sudah hampir lentok mula segar kembali.
"Tahu tak apa fungsi matahari?".
"Tahu ayah. Matahari banyak fungsi dia, terutama pada bumi. Untuk tumbuhan, untuk manusia. Termasuk cahaya dan tenaga haba." Jawab Khalid, seperti biasa bagaikan tentera. Ringkas dan padat.
"Zaid pulak.. matahari ini Allah cipta untuk bulan bercahaya, untuk bumi pusing-pusing matahari, dengan untuk kita tahu masuk waktu solat" Jawab Zaid.
"Betul. Pandai anak-anak ayah. Tahu tak apa yang matahari perlu buat supaya dia terus kekal bercahaya macam itu?" Ayah mula masuk ke persoalan yang lebih serius. Anak-anaknya menggeleng. Masing-masing memandang ayah dengan air muka yang serius. Terserlah rasa ingin tahu mereka.
"Matahari perlu membakar apa yang ada dalam dirinya, supaya badannya terus bermanfaat untuk bumi. Tapi bukan semudah itu. Untuk pengetahuan Khalid dan Zaid, kita punya masa dan ruang ini macam kain yang fleksibel. Boleh kendur, tegang. Malah, kalau Khalid dan Zaid nak tahu, calculation terbaru menunjukkan kita punya kain atau fabric ruang dan masa selalu koyak di peringkat lagi kecil dari zarah. Mesti semua pernah dengar pasal graviti kan?" Ayah memulakan cerita. Dia sangat gemar bercerita mengenai sains. Dia mencintai sains. Dia ingin anak-anaknya tahu, ilmu sains ini bukan ilmu yang rigid  dan tak menambah iman. Malah ilmu ini jikalau dihayati, lebih mendekatkan diri yang memahami kepada Tuhan. Sebab itu dia tak pernah risau kalau-kalau teori yang baru wujud disulami dengan falsafah yang menidakkan tuhan, sebab dia yakin sains sentiasa akan membawa kepada Pencipta dunia ini.

"Pernah..Khalid rasa, graviti itu ada bila ada mass di tempat itu kan. Kan ayah?" Khalid menerangkan. Zaid menggaru-garu kepala.

"Tak fahamlah ayah.." Zaid mula pening. Apa itu graviti?

"Ok. Khalid, boleh tolong pergi ambilkan kain lap di dapur tu?" Pinta ayah.

"Cuba Khalid dan Zaid bayangkan, yang kain ini ialah ruang dan masa. Cuba Zaid ambil Handphone ayah, letak atas kain ini", terang si ayah. Zaid mengambil telefon bimbit ayahnya, lalu diletakkan di atas kain yang dipegang ayahnya.

"Nampak tak kain ini kendur, sebab ada handphone di tengah ini? Macam itulah graviti berfungsi. Bila ada berat, atau mass kain ruang dan masa ini akan kendur. Jadi kalau siapa yang ada dekat kawasan itu mestilah tertarik sekali kan? Betul tak?", tanya si ayah. Zaid dan Khalid mengangguk-angguk. Khalid teringat kisah nabi Muhammad dan kabilah-kabilah di Makkah. Tentang konflik siapakah yang paling layak meletakkan Hajarul Aswad di tempatnya. Apa yang Khalid lihat di depan matanya semacam serupa dengan apa yang Nabi Muhammad lakukan sewaktu ingin meletakkan batu tersebut. Nabi menghamparkan serbannya, lalu batu itu diletakkan di tengah-tengah kain serban tersebut dan diangkat oleh pemimpin-pemimpin kabilah lain. Adakah ada hikmah yang Allah ingin beritahu? Apa kaitan graviti dan ikatan hati-hati? Entah. Dia menyimpan persoalannya itu. Dia kembali mengalihkan perhatiannya kepada ayah.

"Habis ayah, kenapa bumi tak jatuh je ke matahari?" Zaid bertanya. Khalid turut mengangguk. Persoalan itu turut menganggu fikirannya.

"Bumi dan planet lain tak jatuh, sebab masing-masing berpusing keliling matahari dengan laju. Jadi bumi akan terus mengorbit matahari," Jawab si ayah.

"Jadi, apa kaitan apa yang matahari perlu buat untuk kekal bercahaya dengan graviti ayah?" Khalid menyambung kembali.

"Kalau Zaid dan Khalid nak tahu, matahari sendiri sangat berat. Jadi, untuk matahari kekal macam bola yang bercahaya yang kita tengok sekarang, matahari kena terus bekerja untuk kekalkan fungsi dia. Sesaat matahari lalai, matahari akan mati. Dalam matahari sendiri, ada graviti yang sangat kuat menarik matahari untuk mengecut. Jadi, untuk kekal macam itu, matahari perlu terus membakar bahan bakar di dalamnya untuk cipta cukup pressure yang amat kuat ke luar permukaan untuk melawan graviti yang menarik matahari ke dalam. Matahari kita akan terus membakar, sampai satu hari nanti bila Allah takdirkan bahan bakar dalam matahari habis, matahari kita akan mati" Cerita si ayah. Anak-anaknya mengangguk-angguk faham. Dia ingin bercerita mengenai dwarf star dan black hole, tapi segera mematikan niatnya. Takut tidak menjawab persoalan.

"Sebab itu Khalid, ayah serahkan hidup ayah ini pada Allah. Untuk menegakkan kalimah Allah di bumi ini. Ayah takkan berhenti  bekerja walaupun ayah penat. Sebab bila saat ayah berhenti, jahiliyah akan terus menarik ayah ke dalam kegelapan, dosa akan terus menyelimuti hati ayah, lalai dan selesa akan mengaburi mata ayah, dan syaitan akan terus mengabaikan ayah dari tanggungjawab ayah. Khalid boleh anggap, kita semua ini macam matahari. Sebab nabi pernah bersabda, sebaik-baik dari kita ialah mereka yang bermanfaat. Tanggungjawab ayah untuk menjadi khalifah sebagaimana tanggungjawab matahari untuk menerangi bumi. Ayah perlu terus bekerja supaya tak ditarik oleh syaitan menjadi orang yang lalai dan tidak berbuat apa-apa untuk memperjuangkan Islam, sepertimana matahari perlu terus membakar supaya tak ditarik kecut oleh gravitinya. Tapi Khalid, ayah pun tak tahu sampai bila ayah boleh terus bekerja. Ayah pun tak tahu bila 'bahan bakar' ayah habis, tapi selagi belum habis, ayah berdoa pada Allah agar terus bermanfaat untuk orang lain. Alhamdulillah, ayah ada Khalid dan Zaid. Hasrat Umi dan ayah, agar Khalid dan Zaid terus membesar menjadi pejuang untuk Islam. Nama Khalid dan Zaid ini pun Umi kamu semua yang namakan, sempena nama panglima-panglima di Perang Mu'tah. Sebab di zaman ini, orang yang faham akan keperluan perjuangan ini amat sedikit. Jadi, ayah berharap Khalid dan Zaid dapat menjadi penglima yang memimpin umat Islam yang sedikit untuk memperjuangkan kalimah Allah" Terang ayah sambil memandang bingkai gambar arwah isterinya yang amat dicintainya. Khalid dan Zaid memandang ayah mereka. Wajah ayah sayu, merindui Umi.

"Khalid dan Zaid pun kena rasa macam itu. Tapi biar ada kefahaman. Sebab itu dari Khalid dan Zaid kecil lagi ayah latih dengan disiplin dan tanggungjawab. Moga-moga Khalid dan Zaid membesar menjadi mereka yang menyerahkan hidup mereka pada Allah. Proses ini dipanggil proses tarbiyah. Untuk Khalid dan Zaid ada kekuatan nak membakar 'bahan bakar' yang Allah bagi, kamu berdua kena faham apa itu tarbiyah. Tarbiyah agar terjaga iman, dari iman lahir kekuatan. Dari iman lahir taqwa. Tanpa iman, kita pejuang tiada kekuatan. Sebab itu Khalid dan Zaid kena faham, pentingnya iman untuk kita para pejuang. Sebab itu Khalid dan Zaid jangan sekali-kali tinggal mutaba'ah ibadah yang ayah amanahkan. Dari situ, carilah iman dan carilah kefahaman. Insya Allah, yang lain Allah akan tunjukkan. Faham? Umi pun nak anak-anak dia macam itu. Umi dan ayah bukan kahwin sekadar untuk suka-suka, tetapi untuk menyambung warisan perjuangan nabi dan sahabat. Kalau Khalid dan Zaid nak tahu, Umi dulu lagi lah kuat bekerja untuk Islam. Mengalahkan ayah. Tapi sekarang, ayah tinggal seorang. Tak sabar ayah nak jumpa Umi nanti di syurga".

Khalid dan Zaid menatap wajah ayah mereka. Terasa suasana menjadi semakin suram. Hujan masih tidak berhenti.

"Okay. Jom, Khalid dan Zaid pergi siap-siap, ayah janji nak bawa pergi iktikaf kan?" Ayahnya memecahkan suasana sedih itu. Khalid dan Zaid terus pergi bersiap di dalam bilik mereka. Apabila Khalid dan Zaid sudah hilang dari pandangannya, ayah mengambil bingkai tersebut dan memandang lama-lama gambar isterinya, menatap dalam-dalam, sambil bermonolog, 'Anak-anak kita sudah semakin besar sayang'. Air matanya jatuh. Rindu. Ayah terus terlena dalam kerinduan, di atas sofa empuk itu.

Hujan sudah semakin reda. Semakin perlahan titik-titik air itu menghentam cermin-cermin tingkap kondo itu. Bagaikan turut mengiringi naik turunnya emosi si ayah.

Khalid dan Zaid kembali ke ruang tamu dengan beg pakaian mereka untuk ke iktikaf. Mereka melihat ayah sudah terlena di sofa. Di dadanya dipeluk bingkai gambar isterinya. Zaid ingin mengejutkan ayahnya. "Jangan Zaid. Biarkan ayah berehat. Ayah penat. Malam esok masih ada," tegah Khalid. Zaid mengangguk. Khalid mengambil selimut di dalam biliknya lalu menyelimutkan ayahnya. Khalid mencium pipi ayahnya dan berbisik "Ayah, berehatlah...".


* Dalam muhasabah mengenai masa depan, meletakkan pergantungan kepada Allah menanti keputusan. Andai diterima Alhamdulillah, andai tidak diterima redha dan syukur. Itulah sebaik-baik keputusan. Moga Allah memberikan yang terbaik.