Thursday, October 8, 2009

Hakuna Matata

Prologue ?
Hakuna Matata! What a wonderful phrase

Hakuna Matata! Ain't no passing craze

It means no worries for the rest of your days

It's our problem-free philosophy...



Saya suka tengok budak-budak. Mereka bermain dengan falsafah ini. Iya, mereka memang tiada kerisauan. Kerisauan dalam konteks yang lebih ilmiah. Namun, mereka tetap ada kerisauan. Kerisauan tentang gatalnya punggung mereka bila produk percernaan sudah keluar. Kerisauan tentang berlalunya makanan, aiskrim atau barang mainan yang mereka mahukan tak dapat dimiliki. Itulah kerisauan mereka. Saya suka lihat konsep hidup ini. Mafhum hadith nabi, mengatakan bahawa setiap daripada kita bertanggungjawab di atas apa yang dipertanggungjawabkan.

Siapa sangka, kerisauan terhadap perkara-perkara kecil merupakan tarbiah Allah untuk melatih kita untuk risau kepada perkara yang lebih besar di masa hadapan. Itulah Sunnatullah. Kita lihat dan perhati, hampir setiap makhluq melalui proses ini. Risau ini dilengkapi dengan naluri untuk melakukan sesuatu agar dapat menghilangkan kerisauan itu. Itu keseimbangan. Ada risau, mesti ada pasangannya. Ada gembira, mesti ada sedihnya. Ada damai, mesti ada huru-haranya. Ada tenang, mesti ada resahnya. Ada panas, mesti ada sejuknya. Ada terang, mesti ada gelapnya. Ada baik, mesti ada jahatnya. Ada syaitan, mesti ada malaikatnya. Ada Haq, mesti ada Batilnya. Namun, kebatilan diciptakan untuk lenyap. Setiap di dunia ini berpasangan. Zarah kecil pun mempunyai pasangannya. Masya Allah, kadang-kadang hakikat 'duality' ini membawa saya terpanar dan termenung sebentar. Hakikat yang begitu diagung-agungkan oleh Illuminati. Hanya mengagungkan, tidak mengambil sebagai pengajaran. Kadang-kadang, hakikat menakutkan. Semuanya telah terbukti di sekeliling kita, bahawa setiapnya ada pasangan yang mengiringi. Malah, siang ada malam, hidup ada mati. Berfikir di hujung imaginasi ilmiah, membawa saya menyedari satu hakikat. Bahawa Tuhan itu satu. Allah itu Esa. Itu buktinya. Semuanya ada pasangan, HANYA ALLAH ITU ESA. Iya, hanya dengan mengingatkan diri tentang hakikat ini, sudah cukup untuk saya sedar kembali bahawa saya hanyalah hamba Tuhan. Hamba yang banyak berdosa.

Beginilah perumpaan kehidupan.
Si anak singa lahir, risaunya pada laparnya perut mahukan susu. Itu naluri. Siapa sangka haiwan semuda anak singa yang masih merah tahu akan perlunya susu bagi dia meneruskan kehidupan. Si anak singa membesar lagi, risaunya pada dagingnya yang telah menjadi makanannya. Adakah dapat si ayah dan bondanya menyediakan daging untuknya? Risaunya di dalam hati sendirian. Si anak singa membesar lagi. Kali ini umurnya meningkat seiring dengan meningkatnya kerisauan. Jikalau dahulu, risaunya pada adakah yang lain dapat memberikan yang terbaik untuk dirinya? Namun, kerisauan juga membesar. Kerisauan baru telah bertapak di dalam naluri si anak singa. Naluri yang dicampakkan oleh Allah ke dalam si anak singa. Risaunya bukan lagi memikirkan sama ada yang lain dapat memberikan yang terbaik untuk dirinya, namun risaunya kini adakah dia dapat memberikan yang terbaik untuk dirinya sendiri? Berfikir si anak singa. Dia mula belajar erti hidup. Erti berdikari. Erti membezakan yang baik dan buruk untuk dirinya. Si ayah singa telah memberikan yang terbaik untuknya. Memberikan pada anaknya, bererti mengajarnya untuk hidup. Si ayah sedar, jika diberi makan daging si anak boleh hidup untuk sehari. Namun, jiwa dewasanya mengajarnya hakikat bahawa jika si anak diajar untuk mencari daging sendiri, dia boleh hidup sendiri. Ilmu diwariskan pada si anak. Kini episod kehidupan si anak singa telah berubah situasinya. Setiap hari si anak bertanya pada dirinya sendiri, adakah dapat aku memberikan yang terbaik untuk diriku? Begitulah risaunya pada tika itu.
Si anak singa terus membesar, kerisauannya itu telah menajamkan kemahiran dirinya. Hari demi hari, dia semakin lincah. Bagaikan pewaris raja rimba, segalanya dikuasai dengan kesungguhan. Dari menghidu dan mengesan mangsa, dari mengintip dan memerhatikan mangsa, dari mendekati mangsa dengan diam dan tenang di dalam penyamaran semulajadi, dari mengejar mangsa dengan penuh keazaman, dan akhirnya membunuh mangsa dengan kebanggaan pada diri. Perasaan itu bersilih ganti. Makin hari makin hebat. Itulah si anak singa. Ditenggelamkan dalam harga diri dan maruah, mencampakkannya ke dalam satu ruang pemikiran yang amat menakutkan. Membawanya dalam pengembaraan imaginasinya, si anak singa tertanya-tanya, dia sudah mempunyai segala-galanya, tiada kerisauan yang bertapak di hatinya lagi, namun naluri kecilnya tegas menyatakan bahawa hidup ini perlu mempunyai lebih makna.
Si anak singa akhirnya memahami makna kehidupan ini. Hakikat ini terlipat kemas rapi dalam kerisauan yang semakin membesar. Kerisauan ini tidak mungkin dapat dirungkai hikmah di sebaliknya jikalau si singa yang semakin dewasa ini tidak melalui proses pencarian makna kehidupan dan tujuan hidupnya. Akhirnya si singa ini keluar dari kepompong falsafah hidup mudanya dan beralih kepada yang lebih memaknakan kehidupan. Makna yang dapat dihurai hikmahnya, tersimpul di dalam mutiara kerisauan peringkat tertinggi. Persoalan, adakah dirinya dapat memberikan yang terbaik untuk yang lain? Persoalan ini terus memandu si singa ini. Nilai yang telah mengangkat dirinya menjadi raja rimba. Raja yang menyedari persoalan yang harus dimanfaatkannya, berlalu langkahnya bersama masa yang senantiasa menjadi penasihat beliau. Si penasihat yang mengiringi setiap raja melalui liku-liku hidup mereka dengan penuh hikmah dan pengajaran. Yang akan meninggalkan raja dalam perjalanan ke alam lain, dan mencari perintis baru untuk diajar padanya makna kehidupan. Iya, si penasihat ini hanya akan berhenti apabila ditiup sangkakala oleh Israfil. Dia bersama sahabatnya, si ruang yang telah menjadi saksi segala kedamaian dan kerosakan di muka bumi ini. Ruang dan Masa, akhirnya meninggalkan si raja singa. Si raja singa meninggalkan bumi ini dengan rasa aman. Aman kerana dia telah memaknakan kehidupannya dengan sesungguh-sungguhnya. Rasa aman yang terbit dari simpul kerisauan yang telah terlerai. Simpul yang jarang-jarang dapat dileraikan. Bersama setiap kesusahan ada kesenangan. Tinggallah si raja di dalam uzlahnya. Si raja menemui Pencipta dengan hati yang penuh cinta....

____________________________________________________________________


Begitulah perumpamaan kehidupan kita. Dari kecil risau kita pada ibu bapa kita, adakah mereka dapat memberikan yang terbaik untuk kita? Namakan lah apa saja, mahu mainan, makanan, perhatian, kasih sayang, dan sebagainya. Kita melalui tahap itu dengan rasa percaya dan puas. Kepercayaan yang hasil dari contoh terbaik penjaga kita. Namun, ada juga yang telah Allah pilih menjadi lebih kuat. Dia melalui peringkat kecil tanpa ada sesiapa di sisinya, lalu dia memilih untuk memilih Tuhan sebagai penggantinya. Itu kes unik. Namun, kebanyakan kita melalui peringkat ini dengan rasa percaya terhadap kehidupan. Percaya kehidupan dapat memberikan segala-galanya tanpa perlu dicari. Akan tetapi, peringkat seterusnya lain pula yang berlaku. Kehidupan seakan-akan mengkhianati kita. Dari sini terbitnya kerisauan tahap kedua. Adakah dapat diri ini memberi yang terbaik untuk diri sendiri? Keadaan ini dilalui dengan optimum, belajar segala yang boleh dipelajari. Dari sinilah tapak persepsi mula mengambil posisi. Persepsi tentang kehidupan. Apakah kehidupan? Dari sini kebanyakan sudah mula mengembangkan persepsi hidup masing-masing. Namun, kebanyakannya masih berorbitkan lapisan yang sama, iaitu kepuasan hanya untuk dicapai, dinikmati dan dimiliki oleh diri sendiri. Tahap kerisauan masih lagi di peringkat kedua.
Ada yang kecundang dengan persepsi hidupnya. Jikalau kuat, dia akan membina persepsi baru dan melihat kehidupan ini dari kacamata yang berbeza. Jikalau lemah, dia akan terus jatuh dan jatuh sedalam-dalamnya sehinggalah takdir Tuhan tiba untuk membiarkan si dia diberi pengajaran oleh dua penasihat agung, Ruang dan Masa. Si pengembara pernah berkata, peringkat ini peringkat penentu. Ada yang beralih ke peringkat seterusnya dengan gilang dan gemilang. Namun, kebanyakannya hanyut dalam peringkat ini sehingga mati. Ini hakikat yang menakutkan. Terlalu lemas dengan pencapaian peribadi sehingga lupa, bahawa diri ini dicipta Tuhan ada tujuan.
Peringkat ketiga, jikalau dibilang elok, merupakan peringkat paling bermakna. Kita sudah biasa dengan moto, "Erti hidup pada memberi". Juga saya popularkan versi kawan saya Amirul, "Makna hidup pada menyuap". Ada gaya dan kelainan, kan Mirol? Pada peringkat inilah, kita akan mula berusaha untuk memaknakan kehidupan ini dengan lebih bermakna. Dan kita akan mula menyedari, bahawa tahap ini risau kita adalah untuk memikirkan adakah kita dapat memberikan yang terbaik kepada orang lain? Ada juga yang berlalu tanpa memikirkan hakikat ini, dan hasilnya hatinya tak pernah tenang. Ianya memang sudah fitrah untuk setiap manusia melalui hakikat ini. Dan melanggar fitrah bererti mencacatkan kehidupan. Kerisauan tahap terakhir ini, harus dilalui dengan baik. Jika betul jalan dan cara, maka simpulan ini akan terlerai dan tersebar kedamaian dan keamanan. Jikalau salah caranya, semakin tersimpul lah ikatan ini, dan semakin banyaklah kerosakan yang akan berleluasa.

Saya tertarik untuk membawa pembaca melalui satu persoalan yang panjang bagi saya. Adakah sudah cukup kita memaknakan kehidupan ini? Kita hanya mati sekali. Dan hidup ini hanya satu-satu peluang untuk kita memaknakannya. Namun, adakah kita sudah cukup memaknakannya? Jalan ketenangan sudah cukup luas terbentang. Percayalah wahai pembaca sekalian, jalan yang saya maksudkan adalah jalan yang lurus. Jalan di mana yang senang dianggap nikmat, yang susah dianggap ujian. Yang senang disyukuri, yang susah diambil pengajaran. Susah dan senang di jalan ini tidak menyesakkan dada, dan tidak meresahkan. Ianya terasa seperti diri ini disayangi pencipta dan mendapat perhatian darinya.

Tunjukilah kami jalan yang lurus.
Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. Al-Fatihah, 6-7


Seorang ateis pernah berkata pada saya, kita yang percaya pada Tuhan merupakan orang-orang yang lemah kerana tidak dapat menerima hakikat bahawa hidup ini tidak bermakna. Mungkin dia terlalu bergantung pada bukti-bukti empirikal dan lupa untuk melihat dengan mata hati. Kerna itu saya amat kagum dengan kekuatan seorang ateis. Dia cukup kuat untuk hidup tanpa Tuhan di hati. Cukup kuat untuk melawan fitrah yang mengungguli diri. Dan cukup kuat untuk mempercayai bahawa Tuhan tidak wujud. Sesungguhnya mempercayai Tuhan tidak wujud jauh lebih susah dari mempercayainya. Oleh itu, saya ingin mengajak diri dan rakan-rakan, marilah sama-sama memahami tujuan hidup kita. Kerna hidup ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah khayalan semata-mata. Sama-sama menyucikan diri dan sama-sama menuju Ilahi. :)

5 comments:

  1. asip! a nice tot.

    but.. it will be nicer with teknik berkarangan.

    paragrafing!!!

    ReplyDelete
  2. "Tinggallah si raja di dalam uzlahnya"

    soalan: Apa itu uzlah???

    ReplyDelete
  3. uzlah itu means raja tu duduk sorang2 la..
    tu yang ana faham...

    ReplyDelete
  4. thaaqhib -> syukran. aiya, i dun really into ths. 'teknik berkarangan'...lawak benor bunyinya..but, i'll try to manifest the phrase in my next post..

    Isyraf -> As Iman said.

    Amru -> hai...awak sape? selamat berkenalan.

    ReplyDelete

Sila lah komen. Untuk perkongsian ilmu, teguran membina, dan pengerat ukhuwwah.